Rangkaian televisyen Islam, TV Al Hijrah yang dikendalikan oleh AlHijrah Media Corporation mengukuhkan lagi kedudukan sebagai stesen penyiar berorientasikan gaya hidup Islam utama di Malaysia melalui pemetraian perjanjian persefahaman (MoU) bersama dengan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS).
Dengan jalinan kerjasaman ini, ekosistem animasi negara akan dibentuk dan dibangunkan semula supaya dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada penonton tetapi juga penggiat industri kreatif di Malaysia.
MoU yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris dan Presiden Persatuan Animasi Malaysia, Amir Hamzah Hashim bertujuan untuk meningkatkan kualiti siaran rancangan di TV Al Hijrah menerusi program animasi yang secara langsung membantu pembangunan modal insan negara.
Tidak hanya menumpukan pada kandungan dewasa meskipun secara statistiknya lebih 60% daripada penonton adalah mereka yang berumur 30 hingga 55 tahun, TV AlHijrah bersikap adil dan terbuka dengan hanya tidak bertumpu kepada kandungan hiburan sahaja.
TV AlHijrah yakin kerjasama ini akan menjadi medan utama untuk kedua-dua organisasi bertukar-tukar tenaga kepakaran dan sumber-sumber ilmu yang dapat memberikan kebaikan kepada seluruh masyarakat Malaysia.