Berminat untuk menyambung pelajaran ke Victoria, Australia? Dapatkan semua maklumat yang korang perlukan daripada Study Melbourne Hub Kuala Lumpur.
Terletak di tingkat satu pusat beli-belah Jaya One, Petaling Jaya, hab yang rancak ini melalui penambahbaikan yang ketara sejak pelancaran awalnya pada 2021 semasa tempoh pandemik COVID-19. Membuka semula pintunya secara rasmi kepada orang ramai, premis yang kini berwajah baharu itu dihiasi dengan unsur-unsur yang diinspirasikan dari wilayah Victoria.
Ruangnya yang diubah suai menempatkan sebuah bilik mesyuarat, ruang acara pelbagai guna dan meja terbuka, mengembalikan memori pengunjung kepada daya tarikan unik Melbourne dan tempat-tempat ikonik di wilayah Victoria.
Study Melbourne Hub Kuala Lumpur merupakan pusat untuk mendapatkan sumber dan maklumat tentang kursus di luar negeri bagi pelajar-pelajar Malaysia yang memilih untuk belajar dan tinggal di Victoria. Ia juga merupakan tempat khusus untuk memupuk hubungan, menghubungkan pelajar dan alumni yang berkongsi latar belakang sama dalam aspek pendidikan di Victoria. Hab ini juga berfungsi sebagai ruang komuniti yang dinamik, menyediakan alumni, bakal pelajar dan pelajar sedia ada dengan persekitaran yang menarik dan memupuk semangat kekitaan dalam kalangan mereka.
Ketua Pos Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Victoria Asia Tenggara, Georgina McCann, berkata, “Study Melbourne Hub Kuala Lumpur mengukuhkan iltizam teguh Victoria terhadap strategi pendidikan antarabangsanya. Ia menandakan usaha sama untuk mengeratkan hubungan antara institusi dan mengukuhkan lagi kedudukan Melbourne dan Victoria sebagai destinasi pilihan untuk pelajar antarabangsa.”
Pembukaan semula hub di Kuala Lumpur ini menandakan permulaan usaha yang mengujakan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Victoria.
“Australia mempunyai hubungan yang panjang dan mendalam dengan Malaysia yang merangkumi bidang perniagaan, pendidikan dan manusiawi. Dengan rekod kerjasama dan pertukaran budaya yang kaya, inisiatif Study Melbourne Hub ini menjadi komitmen bersama kami dalam menggalakkan peluang pendidikan dan hubungan kebudayaan. Kami bertekad untuk terus memupuk komuniti yang berkembang maju ini dan menjalinkan hubungan berkekalan antara negara kita,” kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Puan Yang Terutama Danielle Heinecke.
Sementara itu, McCann turut menggalakkan ejen pendidikan serta wakil-wakil universiti untuk meneroka peluang kerjasama dan mengukuhkan lagi usaha sama sedia ada yang selari dengan strategi pendidikan antarabangsa Study Melbourne.
Hub ini yang beroperasi semula pada 1 Mac 2024, membuka tempahan untuk bilik dan ruang acara bermula 15 Mac 2024. Untuk maklumat lanjut mengenai Study Melbourne Hub Kuala Lumpur, lawati https://www.studymelbourne.vic.gov.au/Hubs/Kuala-Lumpur