Buat mereka yang kurang arif mengenai basikal pastinya tidak menyangka ada basikal yang mampu terjual bermula dari puluhan ribu dan mencecah sehingga ratusan ribu. Mungkin bagi mereka yang minat berbasikal, ianya adalah tidak salah dan membazir, tapi bagi orang biasa harga tersebut boleh mereka beli sebiji kenderaan.
Yang terbaharu, kolaborasi Automoboli Lamborghini dan Cervelo Cycles telah memperkenalkan sebuah basikal premium berprestasi tinggi edisi terhad iaitu Cervelo R5 Autimoboli Lamborghini Edition yang mana harga bagi satu unit boleh mencecah RM74,952.
Didatangkan dengan corak celoreng ala Lamborghini Aventador SVJ, basikal ini dilengkapi komponen khas yang hanya diperbuat di Itali dan dibina khas untuk pemiliknya menawan curam tinggi dan melalui pergunungan di Itali.
Membawa aura dan karekter seperti Aventador SVJ sebagai sebuah kereta yang pantas – pernah mencatatkan rekod 6:44.97 di litar Nurburgring Nordschleife pada tahun 2018, basikal edisi terhad 63 unit di dunia ini dikatakan lebih mudah dikendalikan dan berbeza dengan spesifikasi standard.
Dengan pelana (saddle) yang menggunakan jenama Fizik Aliante dan stem dari Deda Elementi, tiada spesifikasi lengkap yang dikongsikan kepada umum melainkan ianya menggunakan set gear Campagnolo Super Record EPS dan roda Campagnolo Bora One dengan tayar Vittoria Corsa Pro.
Untuk peminat sukan berbasikal ekstrem, rasanya apalah sangat harga RM74k ni kan?