Umum sedia maklum, Instagram Apple memang aktif berkongsikan gambar yang diambil pengguna iPhone bagi tujuan mempromosikan kualiti kamera iPhone dengan #ShotoniPhone.
Kalau sebelum ini, Instagram Apple memilih gambar kampung di Perlis dan gambar pokok kelapa di Terengganu, kali ini giliran gambar sawah padi Sabak Bernam milik @farisofar menjadi pilihan kerana membawa mesej yang tersendiri.
Gambar yang diambil pada 17 Julai 2020 menggunakan iPhone XR itu kemudiannya dipilih dan dikongsikan di Instagram Apple pada 27 September lalu.
Gambar pertama pengguna iPhone Malaysia yang dikongsikan di Instagram Apple ialah gambar sebuah kampung di Perlis iaitu Kampung Sahabat yang diambil pada 13 November 2019 sebelum dikongsikan pada 26 November 2019.
Gambar milik @dinnyaiman yang diambil menggunakan iPhone 7 Plus itu cukup menggambarkan suasana tenang dan keindahan alam di kawasan perkampungan Perlis. Dalam perkongsian tersebut, Apple meletakkan kapsyen ‘Humanity turns a photo into a story’ dengan #Malaysia.
Selapas gambar tersebut, gambar pokok kelapa milik @aazmeeriskndr pula menjadi viral selepas dikongsi di Instagram Apple pada 16 Januari 2020. Gambar milik abang polis ini diambil pada 28 Ogos 2019 itu dikhabarkan dirakam di kawasan Kampung Rusila, Marang dengan menggunakan iPhone XR.
Kalau nak tahu, Iskandar bukan sahaja ada bakat fotografi, tapi juga memiliki bakat membuat kek dan biskut dan menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan daripada itu.
Dengan viralnya gambar tersebut, secara tak langsung membantu dalam mempromosikan tempat pelancongan yang cantik dan menarik di Malaysia. Kalau lihat di ruangan komen Instagram Apple, ramai yang memuji bakat seni fotografi yang dimiliki mereka.
Memang terbaik! #MalaysiaBoleh