Moreh telah menjadi amalan masyarakat Islam di Malaysia sejak sekian lama iaitu makan selepas menunaikan solat Terawih. Kalau berterawih di masjid, sudah tentu antara manfaatnya adalah untuk merapatkan hubungan sesama Jemaah.
Namun, kalau korang tidak mengawal dengan cermat, makan moreh di lewat malam mungkin boleh menyebabkan beberapa keadaan kesihatan. Contohnya seperti menaikkan berat badan, menganggu kitaran tidur, kerap ke tandas di tengah malam dan pedih ulu hati.

Korang jangan risau, sebab Abang Jim nak kongsikan beberapa perkara supaya korang tak dapat masalah macam yang Abang Jim sebutkan kat atas tu.
1. Kurangkan makanan bergula

Kita tidak selalunya mampu memilih makanan moreh. Apa yang tersedia, itulah yang dimakan. Sebolehnya, kurangkan makanan bergula seperti lepat pisang, onde-onde, akok atau donat. Walaupun semua kuih-muih mengandungi gula, cuba utamakan yang kurang kandungan gulanya seperti bahulu dan kuih sepit. Tapi malangnya jarang kuih ini ditemui semasa moreh.
2. Elakkan makanan berat

Kadangkala, moreh bukan sahaja dihidangkan dengan kuih-muih, tetapi juga makanan berat seperti mi, mihun, nasi lemak atau kuey teow. Ini adalah waktu yang kurang sesuai untuk menikmati makanan berat seperti ini.
Baca artikel ini: 5 Pemain Bola Sepak Antarabangsa Paling Mahal
Namun, jika makanan sudah terhidang dan korang ingin merasainya, ambil dalam kuantiti yang kecil. Satu senduk penuh atau kurang sudah mencukupi. Jangan sampai menambah satu atau dua pinggan pula.
3. Teh O vs teh tarik

Jika ada dua pilihan air ini, pilihan yang lebih baik adalah teh O. Susu pekat manis yang digunakan di dalam teh tarik mengandungi lebih banyak gula berbanding teh O. Jika inginkan pilihan yang sihat, pastinya korang lebih tahu. Satu atau dua kali seminggu tidak mengapa, tapi jangan sampai setiap hari selama sebulan anda mengambil teh tarik! Banyak lagi air teh panas yang sedap boleh dijadikan sebagai alternatif seperti teh Sabah, teh strawberi atau teh kayu manis. Semuanya tidak kurang sedapnya.
4. Uruskan makanan lebih

Jika ada lebihan makanan ketika moreh, pastinya anda tidak mahu membazir. Korang boleh simpan untuk dibawa ke waktu sahur. Tapi pastikan sebelum makan untuk sahur, makanan yang korang simpan tu masih elok dan selamat untuk dimakan. Nanti tak pasal-pasal nak berpuasa esok, perut pula buat hal.
Tapi sebenarnya makan lewat malam ni bukan waktu moreh jer. Makan lewat malam ni dah jadi satu tradisi masyarakat kat Malaysia. Makan tak kira waktu. Selagi mata ni tak tertutup untuk tidur, mulut memang tak henti-henti dok mengunyah jer tak sudah.
Baca artikel ini: Serius Nak Berhenti Merokok? Ikut 5 Langkah Ini