Korang yang sedang mengakhiri usia 20-an mesti sedar bahawa pada usia sebegitu, korang telah melalui satu fasa yang boleh dikatakan ‘kritikal’. Peralihan usia remaja menjadi dewasa membuatkan banyak benda yang korang kena fikir.

Abang Jim mengakui cabaran pada usia 20-an sangat besar sebab ia menjadi penentu siapa Abang Jim pada hari ini. Satu kajian menyatakan usia paling bahagia adalah 33 tahun kerana ramai yang memiliki tujuan hidup yang lebih jelas. Tapi sebelum korang menginjak usia 30 tahun, pastikan korang telah mula berubah dari segi emosi dan tingkahlaku. Kat sini Abang Jim nak kongsikan 11 perkara yang korang kena buat sebelum usia 30 tahun.
1. Berhenti Membandingkan Diri Dengan Orang Lain

Berhenti membandingkan diri sendiri dengan orang lain. Mungkin rakan korang ada yang sudah bergelar doktor, pegawai bank dan punyai gaji yang jauh lebih besar dari korang. Ada juga yang sudah mula bermain aset dan hartanah. Tapi korang di sini masih makan gaji kecil atau tinggal bersama ibu bapa.
Mungkin juga ada kawan-kawan korang yang telah bernikah dan terpaksa menjadi surirumah walaupun telah belajar tinggi bagi yang perempuan. Setiap orang ada masing-masing. Lihatlah sisi baik pada setiap perkara. Contohnya, walaupun ada yang masih tinggal bersama ibu bapa, korang masih diberi ‘rezeki’ untuk mendapat restu setiap pagi sebelum pergi kerja dan berbakti pada ibu bapa. Beruntungkan?
2. Kumpul Duit & Rancang Kewangan

Korang perlu mula berusaha menambah ilmu kewangan serta belajar cari pendapatan sampingan sebelum membuat pinjaman dan menambah hutang seperti membeli kereta atau rumah. Ketepikan sebahagian pendapatan untuk simpanan peribadi untuk kegunaan bila ‘sesak’ nanti. Mahu atau tidak, simpanan amat penting bagi seseorang terutamanya jika berlaku kecemasan. Kumpullah duit dari usia muda supaya kita dapat membuat persiapan membina hidup sendiri. Takkanlah dah tua pun nak minta duit dari ibu bapa lagi!
3. Buang Kisah Lalu Yang Negatif

Dalam usia ini, buang semua perkara negatif yang pernah menghantui hidup korang sebelum ini. Jangan membiarkan kisah silam menghantui hidup korang untuk memulakan kehidupan baru. Buang diari yang penuh dengan keluhan dan curahan hati yang memalukan waktu belajar. Buang barang-barang yang mengingatkan korang tentang kisah silam yang negatif. Jadikan bilik tidur ruang terbaik untuk korang berehat. Hiasi dengan warna kegemaran. Sedekahkan baju-baju dan barang yang masih elok pada orang lain.
4. Mengembara & Libatkan Diri Dalam Kerja Amal

Dengan mengembara ke negeri orang, banyak benda yang korang boleh pelajari. Selain dapat menenangkan minda, pergi bercuti juga dapat menjadikan korang mudah menyesuaikan diri. Korang pasti akan belajar menilai sesuatu melalui perspektif berbeza untuk menyelesaikan masalah. Di samping itu, jangan lupa ambil peluang untuk melibatkan diri dengan kerja amal atau ‘volunteering’. Ia dapat memberi peluang untuk refleksi diri dengan meningkatkan keinsafan apabila melihat orang yang lebih memerlukan. Dengan lebih banyak memberi, korang akan belajar untuk lebih menghargai.
5. Jaga Kesihatan

Korang bukan selamanya berusia muda. Sejak bekerja ini, bangun pagi pun rasa tak segar. Pulang dari kerja pula, penat bukan main. Lama-kelamaan korang akan merasa kesan akibat gaya hidup tidak sihat. Jadilah seorang dewasa yang sihat dan cergas dengan pengamalan gaya hidup sihat. Jangan abaikan kesihatan. Jauhi makanan berproses dan snek yang tidak berkhasiat. Keluar pada waktu petang dan lakukan riadah sebagai rutin 3 atau 4 kali seminggu. Korang akan berterima kasih pada diri sendiri atas usaha yang dilakukan.
Baca artikel ini: 5 Mitos Sperma Lelaki Yang Korang Salah Faham
6. Mulakan Hobi Berfaedah

Tiada guna duduk melepak dan tengok TV jer kat rumah waktu hujung minggu. Mungkin korang boleh cari hobi baru contoh belajar main muzik, seni mempertahankan diri atau belajar bahasa baru? Sekarang adalah masanya untuk daftarkan diri ke kelas kemahiran yang korang selalu impikan. Usia bukanlah penghalang untuk belajar benda-benda baru. Dengan pergi ke kelas sebegini, korang dapat meningkatkan keyakinan diri dan dapat menimba ilmu baru. korang juga pasti dapat berjumpa kawan-kawan baru.
7. Berhenti Jadi Pleaser

Seseorang yang berfikiran matang akan menumpukan fokus terhadap komitmen besar yang perlu diutamakan. Tidak perlu ‘terlalu’ menjaga perasaan seseorang semata-mata kerana ‘kasihan’ atau ‘tak sampai hati’. Belajar untuk katakan tidak sekali-sekala. Ketahuilah korang berhak untuk melakukannya. Cari ruang untuk dapatkan waktu untuk diri sendiri kerana korang akan berasa lebih efisyen, cergas, dan berkeyakinan.
8. Bebas Dari Rakan ‘Toksik’

Semakin dewasa, semakin penting untuk korang menilai kawan-kawan terdekat. Adakah mereka jenis yang menyokong korang dan sentiasa berada dengan korang susah atau senang? Adakah dia jenis yang mengkritik dan bermegah-megah sejak bekerja? Teman rapat akan menjadi pengaruh yang sangat kuat bagi korang. Dalam usia 30-an, jumlah kawan baik korang mungkin akan berkurang kerana masa yang terhad, terutamanya mereka yang telah mendirikan rumahtangga dan mempunyai anak. Oleh itu, buatlah pilihan bijak ketika memilih kawan dan elakkan persahabatan yang tiada nilainya. Pilihlah kawan terbaik untuk berikan nasihat buat korang, yang sentiasa ada waktu korang kesusahan.
9. Bijak Uruskan Ruang Peribadi

Ruang peribadi tidak boleh bersepah lagi jika sudah bergelar dewasa, tidak kiralah sama ada korang seorang lelaki ataupun perempuan. Gantikan 30 minit waktu bermain gajet di rumah dengan mengemas sebanyak yang mungkin. Jadikan rumah sebagai ruang untuk mendapatkan kedamaian. Bagi yang dah berkahwin dan ada anak, jangan jadikan alasan anak punca rumah bersepah. Bila korang rajinkan diri untuk mengemas, barulah minda lebih tenang melihat semua barang tersusun rapi dan teratur dalam almari. Bangun awal pada hujung minggu untuk mula kemas rumah. Korang akan dapati dalam masa sejam dua yang selalunya kita tidur itu cukup untuk mengemas ruang tamu dan dapur!
10. Tahu Potensi Diri

Tahu meletakkan had pada tempatnya. Mereka yang berjaya sentiasa melakukan yang terbaik untuk hasil kerja yang memuaskan. Fokus dan merangka strategi. Jangan biarkan diri stress. Semua yang dilakukan adalah untuk meningkatkan keupayaan diri tanpa mengharapkan pujian daripada pihak lain. Berikan ruang pada diri sendiri untuk belajar dari kesilapan. Belajar untuk katakan tidak pada tugasan yang tidak relevan atau yang melebihi kemampuan korang. Jangan sombong untuk minta pertolongan dan tunjuk ajar.
11. Pentingkan Restu Ibu Bapa

Tidak kira sudah berapa pun umur korang, sebagai anak, restu ibu bapa sangat penting bagi mencapai keberkatan dalam hidup. Doa ibu bapa adalah antara faktor seseorang dapat berjaya dan rasa sangat bahagia walau apapun kesusahan menimpa. Kalau sebelum ini korang terlalu sibuk dengan dunia sendiri sehinggakan terlupa yang ibu bapa kita juga semakin tua, berubahlah bila dan mencecah usia 30 tahun. Berbaktilah pada ibu bapa selagi mata mereka masih terbuka.
Abang Jim baru jer menginjak usia 30 tahun, dan mengakui ada lagi beberapa perkara yang masih belum dilakukan. Mencabar juga jadi orang bujang ni yer. Bayangkanlah kalau Abang Jim dan berumahtangga, lagi besar tanggungjawab yang kena pikul.
Baca artikel ini: Comelnyer! Wanita Jadi Ibu Pada Seekor Itik