Kalau korang kaki Netflix, mesti korang ada perasan satu movie Hindi yang tengah trending iaitu Gumraah.
Cerita ni berkisarkan mengenai kes pembunuhan kejam seorang lelaki, Aakash Sardana. Dalam proses penyiasatan, Inspektor Shivani Mathur berjaya mendapatkan gambar suspek. Namun, kes menjadi semakin rumit apabila mereka bertemu dengan seorang lagi lelaki yang seiras dengan suspek utama kes. Proses menjadi sukar apabila pihak berkuasa menjadi keliru untuk merungkai siapakah penjenayah yang sebenar.
Kalau korang nak tahu, kes macam ni pernah berlaku di Malaysia.
Pada tahun 2003, kembar seiras Sathis Raj dan Sabarish Raj didakwa atas pemilikan lebih kurang 166 kg ganja dan 1.7 kg candu. Salah seorang daripada pasangan kembar ini telah ditangkap ketika membawa dadah berkenaan ke sebuah rumah di Petaling Jaya. Tidak lama kemudian, seorang lagi daripada mereka sampai di rumah berkenaan dan ditangkap.
Pegawai polis yang turut serta dalam tangkapan terbabit, Koperal Mohamad Sidek Paiman pada awalnya tidak mengecam kemudian meminta kembar tersebut untuk bangun kerana terdapat perbezaan pada ketinggian mereka. Namun, beliau mengecam kembar pertama sebagai orang yang berkaca mata.
Menurut Hakim Datuk Zaharah, kes kembar berusia 27 tahun ini (semasa ditangkap) sangat unik kerana, “soalnya siapakah kembar pertama yang ditangkap? Adakah yang memakai cermin mata atau tidak kerana semasa kejadian keduanya tidak memakai cermin mata. Mohamad Sidek berkata dia hanya mengecam berdasarkan baju yang dipakai pada hari kejadian.”
Keterangan daripada dua anggota polis turut menimbulkan keraguan dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kembar yang mana yang ditangkap di belakang bonet kereta dan memiliki dadah.
Bukti DNA juga tidak dapat dipastikan kerana keduanya memiliki hubungan kekeluargaan. Pada hari kejadian pula, keduanya tidak memakai cermin mata. Jika tidak, itulah yang menjadi asas kepada Mohamad Sidek untuk mengecam kembar pertama.
“Ini adalah kes yang sangat unik, kedua-dua tertuduh akan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, jika saya panggil bela diri atas tuduhan Seksyen 39B ini saya takut saya akan tersalah membuat keputusan. Saya tidak boleh menghantar orang salah untuk menjalani hukuman.”
Disebabkan itu, keduanya terlepas daripada hukuman mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama membawa hukuman mati mandatori.
Sumber: MStar, Illuminasi, TheStar