Sejak hujung minggu lepas, Malaysia dikejutkan dengan penahanan beberapa individu bergelar Datuk Seri dan Datuk oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi membantu siasatan membabitkan kes penipuan sindiket Macau Scam di negara ini.
Kes pengubahan wang haram yang turut melibatkan beberapa nama artis tanah air kemudiannya membawa kepada penahanan 10 individu termasuklah 8 orang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kes pengubahan wang haram ini yang lebih dikenali sebagai Macau Scam ini mempunyai beberapa kaedah penipuan yang sering digunakan dalam operasi Macau Scam ini, iaitu:
- menang cabutan bertuah
- penyamaran operator sebagai pegawai polis, pegawai agensi atau peguam yang mendakwa nama mangsa terlibat dalam aktiviti jenayah
- hutang tertunggak yang perlu dijelaskan segera
- ugutan penculikan
Yang terbaru, pihak PDRM mendapati sindiket ini menggunakan taktik meminta mangsa memuat turun satu aplikasi yang tanpa disedari ianya menjadi sumber untuk mereka mendapatkan maklumat yang diingini menerusi telefon mangsa.
Ada 4 cara popular wang haram tadi dicuci supaya menjadi wang yang halal di sisi undang-undang:
1. Perjudian di casino
Berjudi di casino merupakan salah satu cara yang sering digunakan bagi mencuci duit haram dengan cara mengisytiharkan kemenangan di meja perjudian. Penggunaan wang tunai dalam aktiviti perjudian ini menjadikan ianya sukar untuk dikesan.
Hasil daripada kemenangan, cip kemenangan akan ditukarkan bersama resit yang mana ianya secara konsepnya sudah halal – ada sumber daripada mana wang diperoleh. Sekiranya wang tunai yang nak dicuci itu nilainya besar, beberapa pemain akan digunakan dalam satu meja untuk mempercepatkan kemenangan.
2. Pencampuran dana dalam perniagaan yang sah
Taktik ini paling popular sebab sindiket ini akan mencari artis-artis yang kelihatan naif dan menggunakan mereka sebagai tempat untuk melabur. Walaupun perniagaan tiada untung, mereka masih boleh melaporkan pendapatan dengan menghasilkan invois bagi membenarkan wang masuk mengalir ke akaun perniagaan.
Dalam teknik ini, ada dua cara paling popular selain daripada menggunakan populariti artis untuk mengaburi mata pihak berkuasa, iaitu dengan menjalankan perniagaan kelab malam yang berasaskan kepada aliran tunai.
Bila guna tunai, susahlah duit nak trace.
Ada juga yang tubuhkan syarikat kosong yang hanya digunakan untuk pengubahan wang haram. Jadi transaksi palsu yang menyerupai perniagaan biasa akan dibuat kononnya ada aliran tunai yang masuk.
Duit atau dana tadi akan dikitar menerusi beberapa syarikat sebelum kembali ke sindiket ini dalam bentuk ‘duit halal’.
3. Penstrukturan dana
Sebabkan bank ada prosedur yang ketat, agak susah untuk mereka mendepositkan duit ke dalam akaun bank tanpa menimbulkan keraguan. Dalam penstrukturan dana, kebiasaannya sindiket ini akan mengupah ramai pekerja bagi jangka masa pendek untuk mendepositkan duit dalam jumlah kecil ke beberapa akaun sebelum dipulangkan semula kepada sindiket sama ada dengan cara akaun luar pesisir atau akaun syarikat palsu.
Kebiasaannya mereka akan mendepositkan duit menerusi bank-bank yang sangat mementingkan kerahsiaan dalam operasi. Contoh yang paling popular dan selalu disebut ialah Bank Swiss.
4. Jual beli hartanah
Pada peringkat jual beli hartanah ni, mereka akan membeli rumah atau tanah tapi jumlah pembelian di atas kertas dikecilkan dengan persetujuan kedua-dua pihak. Hartanah yang dibeli tadi kemudiannya akan dijual kepada pihak lain dengan harga jauh lebih tinggi daripada nilai di atas kertas.
Jadi beza antara nilai jualan dengan nilai di atas kertas akan jadi keuntungan bersih yang halal.
Kalau dapat call yang pelik-pelik tu, jangan terus gelabah. Tenangkan diri anda dan semak dengan pihak rasmi sebelum membuat sebarang keputusan. Elakkan jadi mangsa scam, bertindak dan berfikir dengan cara yang lebih bijak.