Akaun parodi seakan menjadi trend masa kini yang kononnya ditubuhkan untuk menghiburkan rakyat.
Namun belakangan ini munculnya beberapa akaun parodi yang seakan melampaui batas apabila dicipta sehingga boleh menyebabkan kekeliruan terutamanya sedang negara dalam konflik berperang dengan wabak pandemik COVID-19.
Sebagai contoh, akaun parodi portal media BERNAMA yang menggunakan nama BERMANA telah berjaya mengelirukan netizen termasuklah beberapa ahli politik.
Ini kerana sekali pandang, memang boleh terkeliru kerana akaun parodi ini menggunakan logo yang hampir sama dengan akaun sebenar.
Akaun parodi BERMANA:
Akaun sebenar BERNAMA:
Akaun parodi BERMANA ini telah berjaya mencetuskan kekeliruan apabila memuat naik satu hantaran palsu berhubung kenyataan menteri Pendidikan, Noraini Ahmad berkenaan dengan keputusan akhir pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan pendaftaran secara bersemuka dengan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Sebelum ini, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menjadi ‘mangsa’. Namun akaun parodi @MyJAKlM tersebut didapati sudah pun dipadam pihak Twitter.
Beberapa media lain turut diparodikan dan popular ialah Berita Harian (Berita Hairan), Harakah Daily (Harakat Daily) dan Astro Awani (Astrol Awatni).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek memaklumkan mana-mana pihak yang terjejas dan terkesan dengan kewujudan akaun parodi ini boleh mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap mereka.
Mungkin benar, ianya adalah hak masing-masing tetapi negara juga ada undang-undang lain yang boleh diguna pakai bagi menangani mereka yang menyalahgunakan teknologi untuk kepentingan tertentu selain daripada menjejaskan masyarakat.