Awal Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang memberikan insentif pengecualian cukai jualan sebanyak 100% ke atas jualan kereta penumpang pemasangan tempatan sehingga 31 Disember ini.
Bagi menggalakkan pertumbuhan industri automotif negara, insentif ini turut memberikan pengecualian cukai 50% bagi kereta penumpang yang diimport sehingga/dalam tempoh yang sama.
Dengan insentif pengecualian cukai ini, betul ke harga kereta akan jadi lebih murah? Jawapannya ialah YA.
Harga kereta akan jadi lebih murah namun bukanlah dalam jumlah angka yang besar kerana penurunannya bergantung kepada beberapa faktor antaranya harga barang komponen pemasangan tempatan (CKD), kos buruh, eksais duti dan caj pemasangan yang dikenakan.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata aspek pengiraan lain perlu diambil kira. Namun secara matematik mudahnya, harga kereta CKD boleh menurun hampir 10% dan model import sepenuhnya (CBU) pula 5% berdasarkan pengiraan cukai jualan yang perlu diketepikan oleh pengeluar.
Tambah beliau, pengecualian cukai ini dijangka akan memacu semula jumlah keseluruhan industri (TIV) yang dijangka akan melebihi angka semakan semula 2020 berjumlah 400,000 unit tahun ini disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan wabak COVID-19.
Insentif ini dianggap membawa semula kepada situasi yang mana negara pernah berada dalam tempoh cuti cukai antara Jun hingga Ogos 2018 yang menyaksikan pemansuhan cukai GST daripada daripada semua harga kereta yang kemudiannya menggunakan kaedah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang digunakan sehingga hari ini.
Dengan pelan terbaharu PENJANA ini, SST dilaporkan akan dimansuhkan seketika sehingga hujung tahun ini.
Walaupun pengecualian cukai ini kadarnya tidaklah sebesar mana, namun untuk berjimat, sesiapa yang dah merancang untuk membeli kereta tu bolehlah beli sekarang – sebelum menjelangnya hujung tahun ini.
Kredit gambar utama: MalayMail