Minggu lalu, netizen dikejutkan dengan satu tweet gadis yang mendakwa diberikan ayam yang sudah berulat sehingga menimbulkan ketakutan pada orang awam untuk membeli ayam daripada premis McDonald’s.
Tweet tersebut kemudiannya menjadi viral dan dikongsikan secara meluas di internet – WhatsApp, Twitter, Facebook, Instagram dan tabloid-tabloid.
Beberapa hari kemudian, pemilik akaun tersebut (@rabbykrabby) mengakui bahawa gambar ayam berulat yang beliau muat naik tersebut adalah fitnah semata. Ayam tersebut berulat kerana disimpan beberapa hari dalam suhu bilik.
Susulan dengan itu, McDonald’s pada 28 September lalu telah memberikan respons akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang terlibat termasuklah netizen dan beberapa pihak yang menyebarkan fitnah tersebut tanpa usul periksa.
Dalam kenyataan rasmi, McDonald’s menjelaskan kebersihan dan keselamatan makanan menjadi keutamaan mereka untuk menjaga kualiti makanan ke tahap terbaik mengikut SOP penyediaan makanan yang sudah ditetapkan.
Tidak menafikan hak orang ramai untuk bebas bersuara di platform media sosial, McDonald’s sempat menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru berkongsi kandungan dan maklumat di internet sehingga boleh menyebabkan reputasi sesebuah organisasi, komuniti mahupun individu dipersoalkan atas kenyataan yang menipu.