Selepas ini, nampaknya kita akan mempunyai alasan baru untuk bercuti ke Cameron Highlands apabila pengumuman pembinaan sebuah taman tema di lokasi tanah tinggi berkenaan yang dijangka siap pada tahun 2023.
Difahamkan, perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh pemilik tapak dan pemilik taman tema ESCAPE disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini.
Tarikan terbaru ESCAPE Cameron Highlands ini difahamkan berkeluasan 60 ekar dan bakal menjadi taman tema luaran berkonsepkan ala-Eropah yang pertama di Malaysia. Ini termasuklah dari segi permainan, persekitaran serta tarikan yang bakal didirikan nanti.
Dengan adanya taman tema ini nanti, bermakna kita dah tak perlu keluar negara untuk menikmati suasana Eropah. Lebih menarik, dikatakan taman tema ini akan beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui, menjadikan ia sebagai taman tema mesra alam.
Antara tarikan yang bakal menemui pengunjung di ESCAPE Cameron nanti termasuklah sebuah lereng ski kering sepanjang 1.2 kilometer dengan ketinggian 920 meter dan akan ada juga kemudahan lif ski seperti yang ada di kebanyakan tempat bermain ski lain.
Dengan adanya tarikan ski ini, ia meletakkan Malaysia sebagai negara beriklim tropika yang pertama mempunyai tarikan ski! Selain itu, terdapat juga tarikan yang dipelopori oleh ESCAPE seperti Adventureplay dan juga Gravityplay.
Difahamkan, taman tema ini akan dibina secara berfasa yang mana fasa pertama projek ini bakal mengambil masa antara 15 hingga 18 bulan untuk disiapkan. Dengan konsep retro-eko yang dibawakan, ESCAPE Cameron Highland dijangka bakal menarik sehingga 200,000 orang pengunjung pada tahun pertama dan angka ini bakal mencecah sejuta pengunjung menjelang tahun ke 5 pembukaannya nanti.
Permainan Eropah juga akan diperkenalkan bersesuaian dengan tema Eropah, seperti Street bowling, mengejar keju turuni lereng dan banyak lagi. Sudah tentu, terdapat juga vendor makanan dan minuman yang terkenal selain tempat penginapan mewah berkonsepkan ‘glamping’ di premis ini nanti.
Taman tema ini dijangka beroperasi pada suku pertama pertama 2023 manakala pembinaan fasa 2 dan fasa 3 akan dilaksanakan kemudian. Difahamkan akan ada tarikan baru akan diperkenalkan di setiap fasa.
Memang konpom semakin sesaklah Cameron Highlands nanti, harap masalah kesesakan tu tak menghalang orang ramai untuk kesana nanti!
Kredit gambar utama: via The Vocket