Mesti banyak soalan daripada korang especially yang baru habis SPM tentang nak buat pilihan nak sambung apa? Nak ambil diploma, matrikulasi atau asasi. Pening kan?? Dilema beb. Boleh buat tak tidur seminggu. Rasa macam adakah aku akan jadi orang yang tak berguna. Atiba.
Jom kita baca dan fahamkan.
Diploma
Diploma bergantung pada program (Course) yang diambil. Ada sesetengahnya 2 tahun setengah, ada pula yang memakan masa kira- kira 3 tahun. Namun, kebaikan yang bakal diperoleh oleh pemegang diploma selepas bergraduasi nanti adalah peluang pekerjaan yang cerah (bergantung pada kehendak pasaran pekerja).
Maklum sajalah, berbeza dengan sijil lepasan matrik, sijil diploma boleh diaplikasikan untuk meraih pekerjaan. Manakala, sijil matrik pula hanya ‘laku’ digunakan sebagai syarat memasuki Universiti.
Kelebihan:
- Jika pointer jatuh, masih ada masa untuk memperbaikinya.
- Mendapat banyak pendedahan tentang skop pekerjaan serta pengalaman bekerja (praktikal).
- Diajar bagaimana menganjur program dan nilai etiket sosial.
- Memberi pengecualian kredit bagi sesiapa yang mengambil diploma dan menyambungnya di tempat yang sama
Risiko:
- Terlalu ramai lepasan diploma di Malaysia
- Perlu mendapatkan pointer paling kurang 3.0 ke atas bagi menyambung ijazah.
- Bagi peminjam PTPTN, anggaran kasar pinjaman anda adalah sebanyak RM15,000 dan perlu dibayar 6 bulan selepas tamat belajar.
- Sesiapa mendapat pointer dibawah 2.0 dalam mana- mana semester, PTPTN anda akan digantung selama satu sem.
- Ada sesetengahnya terus saja ingin bekerja kerana dirasakan belajar satu bebanan.
- Ramai yang terleka kerana hanyut dengan masa senggang.
Matrikulasi
Bagi pelajar Sains, mereka dibekalkan dengan 4 modul berbeza serta pilihan tahun yang pelbagai. Ada diberi 2 tahun, ada pula yang hanya setahun (bergantung pada result SPM anda). Mengikut rakan-rakan matrik, menjadi pelajar selama satu tahun (2 semester) adalah lebih mudah dibandingkan dengan yang 2 tahun. Hal ini kerana, peruntukan masa yang lama menuntut para pelajarnya mengambil test dan ‘ Carrymark’ dalam jangka waktu panjang.
Jadi, sesiapa yang merasakan dia mampu cemerlang dalam semua cabaran tersebut, Silakan. Namun, bagi mereka yang 4 semester ini, silabus pelajarannya adalah lebih perlahan dibandingkan dengan yang satu tahun tadi.
Kelebihan:
- Mendapat elaun daripada pihak kerajaan.
- Senang membiasakan diri dalam suasana Universiti yang lebih banyak masa terluang.
- Tempoh pembelajaran yang singkat.
- Kursus dalam ijazah (untuk diisi dalam UPU) kebiasaannya adalah lebih luas dan bervariasi berbanding diploma (Cth: Perubatan & Pakar Bedah).
- Diberi penerapan kemahiran insaniah (Soft skill).
- Mengajar erti berdikari.
- Program kokurikulum menarik.
Risiko:
- Silabus mantap dan gaya pembelajaran yang pantas.
- Sijil matrik hanya boleh digunakan untuk menyambung ijazah di mana- mana universiti.
- Wajib mengambil MuET.
- Mempunyai pesaing iaitu pelajar Pra- U ( Ting 6) & ASASI.
- Mengikut statistik baru-baru ini, pelajar yang mendapat pointer 4.0 atau 3.5 ke atas semakin bertambah (Menunjukkan persaingan dalaman juga meningkat ATAU sistem pemarkahan semakin longgar)
- Perlu memperoleh pointer 3.0 dan ke atas bagi meraih program yang dikehendaki ( Jika tidak, besar kemungkinan mendapat ‘course’ lelong)
*Untuk pengetahuan, sijil matrikulasi sudah diiktiraf untuk permohonan bekerja sejak 2016.
Asasi
Asasi juga dipanggil sebagai ‘foundation’. Lebih kurang macam matrikulasi juga. Asasi/Foundation merupakan laluan yang paling berisiko. Namun, ramai dalam kalangan pelajar cemerlang memohon masuk ke asasi. Mungkin kerana suasana pembelajaran sudah seakan di universiti kerana lokasi pengajian di dalam kampus universiti membuat mereka teruja untuk terus ke asasi. Terdapat 12 buah universiti awam yang menawarkan program pengajian asasi iaitu UKM, UPM, UiTM, UM, UMT, UNISZA, UMS, UUM, UNIMAS, UIAM, USIM, UPNM.
Secara ringkasnya, jika asasi di universiti awam selain daripada asasi UITM dan UM, anda tidak layak untuk memohon masuk ke mana-mana universiti awam lain untuk pengajian degree. Kenapa tidak boleh memohon?.
- Pertama, tiada kategori yang membenarkan anda untuk mengemukakan permohonan melalui UPU kelak.
- Kedua, semua universiti awam lain telah meletakkan syarat am hanya menerima lepasan asasi sains daripada UM dan UITM sahaja untuk peringkat pengajian ijazah (degree). Syarat ini turut melibatkan lepasan asasi (foundation) daripada IPTS.
- Ketiga, majoriti program pengajian asasi yang ditawarkan di universiti lain adalah feeder kepada program degree.
Ini bermaksud, kebanyakan universiti sudah menyediakan tempat khas untuk lepasan asasi universiti mereka melanjutkan pengajian degree kelak. Walau bagaimanapun, jangan terlalu yakin kerana pelajar masih perlu memenuhi syarat kelayakan ke pengajian degree walaupun dijamin tempat di universiti yang sama.
Memilih ke asasi bukanlah satu jalan yang salah tetapi masalah akan timbul sekiranya anda ingin memohon ke kursus yang tidak ditawarkan di universiti tersebut atau gagal memenuhi syarat kelayakan program pengajian yang ditetapkan oleh pihak universiti. Jika situasi ini berlaku, anda hanya ada pilihan untuk sambung degree di IPTS sahaja. Kemudian, jika ingin melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, barulah bolehlah sambung master atau PhD di universiti awam lain.
Jadi untuk masuk ke program asasi tidak menjadi masalah sekiranya korang sudah tahu kursus pengajian degree manakah yang ingin diambil selepas tamat asasi kelak.
Sebenarnya, lagi bagus kalau dah tahu korang nak jadi apa dari sekolah! Senang nak plan aliran dan course nak ambil dimasa depan. Contoh, kau suka bisnes, dekat sekolah ambil aliran perakaunan, dan lepas SPM kau ambil course bisnes. Kalau minat kau tu bertentangan dengan parents, slowtalk dan bincang dengan diorang.
All the best! Dan selamat maju jaya guys! Study hard, play hard!
Kredit gambar utama: via The Malaysia Online, Efie Emeir & AziRahmanDotcom