Pengenalan Belle, iaitu watak dalam filem animasi Disney ‘Beauty and the Beast’ versi parodi yang tular kat Twitter baru-baru ni memang betul-betul mencuit hati semua orang termasuk Abang Jim.
Dalam parodi tu, ia menerangkan betapa cepatnya COVID-19 tersebar jika orang ramai tak ambil langkah berjaga-jaga dengan betul.
Sama macam kat dalam filem asal, watak si Belle ni memulakan hari dia dengan menyapa mesra penduduk-penduduk kampung yang sedang melakukan rutin harian mereka seperti biasa. Tapi dalam versi parodi ni, Belle tidak digambarkan sebagai watak protagonist yang disayangi penduduk kampung.
Belle dikritik penduduk kampung sebab dia tidak membasuh tangannya, tak ikut perintah kuarantin dan tak amalkan pengasingan sosial dengan jarak 6 kaki.
Lirik lagu yang dinyanyikan oleh penduduk kampung kepada Belle juga mencuit hati dan berkaitan dengan penularan COVID-19.
“Saya belum pernah melihat seorang yang bodoh dan cuai seperti dia…” nyanyi penduduk kampung. “Keluar tanpa topeng atau sarung tangan? Dia akan membuat kita semua dijangkiti, si Belle ini.”
Apa yang menyakitkan hati, Belle tanpa menghiraukan nasihat penduduk kampung meneruskan perjalanannya dengan sikap pentingkan diri.
Dia dilihat meneruskan perjalanannya tanpa rasa bersalah untuk membeli kertas tandas dan mengembalikan buku yang dipinjam, sekali gus mendedahkan puluhan penduduk kampung lain dengan COVID-19.
Apabila Belle tiba di kedai buku Albert, dia mengaku kepada pemilik kedai itu bahawa dia tidak membasuh tangan dan berasa tidak sihat sebelum berkata dia mungkin dijangkiti coronavirus.

Albert kemudian menghalau si cantik itu keluar dari kedainya. Hahaha. Kesian!
Belle juga berkata dekat sekumpulan kambing bahawa, walaupun coronavirus telah meragut banyak nyawa, manusia tidak dapat mengawal bila mereka akan mati, jadi tiada guna untuk bersusah hati.
Video yang telah ditonton sebanyak 1.2 juta kali di Twitter itu membuat netizen terhibur di samping ramai yang saling mengingatkan bahawa coronavirus bukan wabak selsema yang biasa.
Manusia boleh mengawal bagaimana mereka meninggal dengan menjaga kebersihan dan mengikut perintah kuarantin, tidak seperti yang dikatakan oleh heroine Beauty and the Beast itu.
Walaupun versi Beauty and the Beast ni diubah dalam bentuk parodi, ia bertujuan untuk memberi kesedaran kat semua orang betapa bahayanya COVID-19. Tapi Abang Jim memang tertarik dengan konsep yang dibuat sebab ia masih mengekalkan karakter asal dalam filem Disney itu.