Movie time! Ini masa untuk menghargai karya tempatan di layar perak. Studio Rawr Pictures Sdn Bhd dengan bangganya mempersembahkan filem animasi, ‘The Muralz’, dengan kerjasama Golden Screen Cinemas (GSC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Sebagai sebahagian daripada usaha memartabatkan filem tempatan, GSC mempertontonkan karya sinematik ini melalui GSC International Screens sempena Festival Filem Animasi Malaysia (MAFF) yang julung kali diadakan pada 5 – 25 Oktober 2023, dengan sokongan daripada Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE).
Animasi yang luar biasa ini bukan sahaja bertujuan untuk menghibur tetapi juga mempromosi Pulau Mutiara sebagai destinasi pelancongan yang mempesonakan.
‘The Muralz’ adalah cetusan idea Jeremy Lee, Pengarah Urusan Studio Rawr Pictures Sdn Bhd dan seorang penggiat industri yang berwawasan kreatif dengan pengalaman selama 17 tahun dalam bidang animasi 2D dan 3D. Jeremy menyatakan visinya untuk projek ini adalah untuk mengetengahkan konsep daya ketahanan, empati dan hubungan antara manusia.
“Selain daripada penghormatan kepada Pulau Pinang, ‘The Muralz’ berperanan sebagai simbol harapan, yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia untuk memupuk sifat kasih sayang dan kerjasama dalam kesusahan. Melalui ‘The Muralz’, saya bukan sekadar menyampaikan sebuah cerita, saya turut menghulurkan undangan kepada dunia untuk membentuk masa depan yang berlandaskan kebaikan dan perpaduan.”
Menerusi filem pendek ini, penonton akan dibawa ke jalan-jalan Pulau Pinang yang tenang, sunyi dan hampir lengang, berlatarbelakangkan wabak COVID-19. Apabila mural mula dihidupkan, Azam, seorang penghantar makanan yang berdedikasi, diiringi oleh rakan animasinya: “Pahlawan Nasi Lemak”, “Rojak Man”, dan “Kapten Cendol”.
Filem animasi ini membuktikan kuasa perpaduan dan semangat kemanusiaan, ia mengingatkan kita bahawa sifat kasih sayang dan kerjasama yang wujud di kalangan manusia membolehkan kita mengharungi pelbagai cabaran.
Menurut Wong Hon Wai, EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE), ‘The Muralz’ merakamkan intipati Pulau Pinang dengan indah – budaya, sejarah dan isi hati rakyat tempatan. Filem ini adalah pemangkin untuk memberikan nafas baharu kepada sektor pelancongan tempatan.
“Melalui filem ini, kami berhasrat untuk mempersembahkan daya tarikan dan naratif unik Pulau Pinang kepada khalayak global,” kata YB Wong.
Masa untuk dapatkan tiket wayang anda dan nikmati sendiri tujuh filem animasi pendek yang dihasilkan oleh bakat tempatan di outlet GSC terpilih di Lembah Klang, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuching, dan Kota Kinabalu.
Untuk info lanjut tentang ‘The Muralz’, boleh layari https://rawr-pictures.com/.