Membaca adalah jambatan ilmu. korang yang banyak membaca buku pasti mempunyai pengetahuan yang luas. Tapi sekarang zaman dah canggih. Pembacaan telah menjadi sangat mudah dengan adanya teknologi telefon pintar.
Itu pun masih ramai yang malas membaca. Kalau zaman-zaman Abang Jim sekolah dulu, buku adalah satu-satunya medium bacaan yang mudah. Dan biasanya harga bagi sebuah buku tidaklah begitu mahal membuatkannya mudah didapati. Tapi, terdapat juga beberapa buah buku istimewa yang mempunyai harga tak masuk akal. Malah harga buku tu dikatakan dijual pada harga yang terlalu mahal. Jom Abang Jim bongkar 5 buah buku yang pernah dijual pada harga tidak masuk akal.
1. The Codex Leicester, Leonardo da Vinci
Buku nota yang mengandungi 72 halaman ini mungkin yang paling terkenal daripada jurnal saintifik Leonardo Da Vinci. Ia mengandungi buah fikiran beliau yang ditulis sendiri dan teori-teori mengenai pelbagai topik termasuklah pergerakan air, mengapa bulan bercahaya bahkan mengenai fosil. Pada tahun 1717, manuskrip ini dibeli oleh Thomas Coke, yang kemudiannya menjadi Earl of Leicester, membawa kepada penamaan semula buku ini kepada “Codex Leicester”. Pada tahun 1980, manuskrip ini berada dalam tangan pengumpul seni, Armand Hammer. Namun, pada tahun 1994, jurnal ini telah dibeli oleh Bill Gates dengan harga RM138.7 juta. Secara tidak langsung ia telah menjadikannya sebagai buku paling mahal yang pernah dijual dalam sejarah.
2. Magna Carta
Magna Carta yang juga dikenali sebagai Magna Carta Libertatum. Ia adalah piagam yang disusun oleh Uskup Agung Canterbury dan dipersetujui oleh Raja John dari England untuk melakukan perdamaian di antara beliau dan sebuah kumpulan pemberontak. Pada tahun 2007, salinan asal Magna Carta telah dibeli dalam sebuah lelongan dengan harga mencecah RM96 juta dan khabar angin mengatakan bahawa pembelinya adalah David Rubenstein, dermawan terkenal Amerika Syarikat.
Baca artikel ini: Menakjubkan! Top 5 universiti tertua di dunia yang masih kekal
3. St. Cuthbert Gospel
“St. Cuthbert Gospel” atau “Stonyhurst Gospel” adalah sebuah kitab injil saku yang ditulis dalam bahasa Latin dari abad ke-8. Apa yang membuatkan kitab ini unik adalah ia merupakan salah satu contoh pertama percetakan buku di dunia. Ia dijual dalam satu acara lelongan pada tahun 2012 dengan harga RM64.1 juta.
4. Bay Psalm Book
Buku “Bay Psalm” mungkin terkenal sebagai buku pertama yang dicetak di Britain dan ia pertama kali dicetak di Cambridge, Massachusetts pada tahun 1640. Khabar angin mengatakan hanya terdapat 11 salinan sahaja yang tinggal ketika ini, salah satunya telah dijual dalam satu lelongan pada tahun 2013 dengan harga RM64.1 juta.
5. Rothschild Prayer Book
Juga dikenali sebagai “Rothschild Hours”, buku ini adalah manuskrip berilustrasi yang ditulis dalam bahasa Flemish. Manuskrip ini disusun oleh beberapa seniman di sekitar tahun 1500 hingga 1520 dan mempunyai 254 lembaran. Ia telah dibeli pada tahun 1999 dengan harga RM60.3 juta sekaligus menjadi manuskrip berilustrasi paling mahal di dunia.
Buku dianggap sebagai pendamping terbesar bagi orang yang ingin menggali kedalaman pengetahuan dan informasi yang terbaik. Kan orang cakap ‘membaca jambatan ilmu’. Jadi, mahukah korang menghabiskan duit berjuta-juta hanya untuk sebuah buku?
Baca artikel ini: Malu ke pakai barangan terpakai?