Korang rasa geli dan seram sejuk tak tengok gambar berlubang-lubang macam di bawah ni? Kalau ya, korang mungkin tergolong dalam 16% manusia yang mengalami sejenis kondisi digelar trypophobia. Yes! Abang Jim tergolong dalam kelompok 16% tu. Rasa takut atau jijik pada lubang-lubang membuat Abang Jim rasa tak selesa dan seram. Lubang-lubang tu didapati dalam pelbagai situasi, termasuklah bahan semulajadi seperti wap air, tumbuh-tumbuhan, kulit haiwan, dan sarang lebah. So kat sini Abang Jim nak bagi tahu 5 benda tentang trypophobia.
1. Definisi Trypophobia
Ada banyak jenis fobia dalam dunia dan trypophobia merupakan antara yang sering menjadi bualan dan perdebatan. Istilah trypophobia bermaksud ketakutan, rasa geli atau ketidakselesaan yang melampau terhadap lubang-lubang yang berdekatan antara satu sama lain.Mereka yang mengalaminya boleh mengalami rasa seram, geli, mual atau tak senang duduk bila melihat permukaan yang berlubang-lubang.
2. Perkara Yang Mencetuskan Trypophobia
Antara imej atau benda yang biasa mencetuskan trypophobia ini adalah seperti biji bunga Teratai; sarang lebah; kulit strawberi; permukaan batu karang; kondisi tertentu pada kulit manusia; wap air; buih dan kulit haiwan yang bersisik atau berlubang-lubang.
3. Simptom
Mereka yang mengalami trypophobia boleh mengalami beberapa simptom apabila berhadapan dengan objek seperti yang disenaraikan di atas. Kadang-kadang membayangkan sahaja cukup cukup membuatkan seseorang itu berasa resah atau gelisah. Selain itu trypophobia akan menimbulkan rasa tidak selesa; seram sejuk sehingga naik bulu roma; kecelaruan visual; berpeluh; panic attack; mual dan menggigil.
4. Penjelasan Dari Sudut Sains
Sehingga kini, penyelidik masih berselisih pendapat sama ada untuk mengklasifikasikan trypophobia sebagai sejenis fobia atau tidak. Namun pada tahun 2017, sekumpulan penyelidik melaporkan bahawa hasil kajian mereka mendapati trypophobia tidak mempunyai perkaitan dengan rasa takut terhadap haiwan berbisa. Sebaliknya orang yang mengalaminya hanya berasa jijik terhadap rupa bentuk sesuatu objek / imej itu sahaja.
5. Kesimpulan
Sesetengah pengkaji menemui bukti bahawa trypophobia ini benar-benar wujud dan memberi impak terhadap kehidupan harian jika terdedah kepada imej / objek yang menjadi pencetusnya. Sungguhpun ia masih belum diputuskan sebagai sejenis fobia yang sebenar secara rasmi, orang yang mengalaminya boleh mengatasi keadaan ini melalui pelbagai rawatan seperti terapi, teknik pernafasan, self-help atau kaunseling bagi mengurangkan hipersensitiviti ini.
Apapun, jika korang merasakan ianya menjadi beban yang mengganggu hidup korang secara serius, berjumpalah doktor untuk mendapatkan nasihat selanjutnya ok! Jangan biarkan benda remeh macam ni terus menghantui dan menjejaskan kehidupan normal korang tu.